RUSLIN bersama pegawainya menunjukkan passport palsu yang dirampas pada sidang media di Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
RUSLIN bersama pegawainya menunjukkan passport palsu yang dirampas pada sidang media di Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Putrajaya: Bermodalkan kertas pelekat, mesin pencetak dan cecair pemetik api seorang lelaki Bangladesh kaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit sebulan dengan memalsukan pasport sejak dua tahun lalu.

Suspek berusia 38 tahun yang juga dalang utama sindiket itu juga diikenali dengan gelaran 'Ofu Bhai' dan orang kananya iaitu seorang wanita Filipina berusia 40 tahun ditahan dalam satu serbuan di kediaman di Kajang, Selangor Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket berkenaan dipercayai mengenakan bayaran sekitar RM1,000 ke RM1,500 untuk mengubah tarikh tamat tempoh pada pasport asli bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"JIM merampas 211 pasport yang terdiri daripada 119 pasport Bangladesh, India (empat), Filipina (tiga), Myanmar (tiga) dan Indonesia (dua) yang disyaki sudah sedia untuk dipinda maklumat pada bahagian biodata.

"Pasukan operasi juga menemui 31 helaian muka depan (mengandungi maklumat biodata dan tarikh tamat pasport), 114 kepin dokumen Fomema (Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing) dan tunai RM16,000," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan warga asing yang memiliki pasport tulen tetapi sudah tamat tempoh terutama dalam kalangan rakyat Bangladesh.

Katanya, sindiket dengan cermat akan menanggalkan helaian butiran peribadi pada pasport menggunakan cecair pemetik api kemudian menyunting butiran berkaitan, terutama tarikh tamat tempoh dokumen.

"Mereka (sindiket) cetak satu helaian (yang sudah disunting) menggunakan kertas berpelekat kemudian ditampal pada bahagian biodata pada pasport yang tulen. Mereka sangat kreatif.

"Jika dibandingkan dapat dilihat perbezaan dari segi kualiti warna dan ciri-ciri keselamatan yang ada pada pasport tulen jauh berbeza, kalau pegawai JIM lihat memang boleh kesan (palsu) tetapi pihak berkuasa sekarang ada banyak," katanya.

Ruslin berkata, siasatan awal mendapati dalang sindiket terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan manakala wanita warga Filipina mempunyai pasport tamat tempoh.

Katanya, kedua-dua rakan kongsi berkenaan menjalankan kegiatan secara berpindah randah bagi mengelak dihidu pihak berkuasa dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan saki baki sindiket untuk melumpuhkan terus rangkaian kumpulan itu.

"Jumlah pasport yang sudah dipalsukan dipercayai agak banyak berdasarkan tempoh dua tahun mereka beroperasi dan jumlah rampasan pasport dalam operasi ini.

"Sekarang mereka (sindiket) guna pelbagai kaedah, jika sebelum ini memang dia buat dokumen palsu terus memang boleh kesan tetapi yang ini dia guna pasport tulen cuma ubah helaian biodata pemilik sahaja," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman 14 hari di Depoh Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963, serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 11:58 AM