Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Bukit Tinggi: Dua puluh sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan hasil operasi bersepadu membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, JIM Selangor, JIM Kuala Lumpur dan JIM Pahang 1 petang tadi.

Dalam serbuan itu, pihak imigresen dengan kekuatan seramai 80 anggota menyerbu sederet premis kedai makan, pusat urut dan ladang sayur di sekitar kawasan ini yang dibahagikan kepada empat zon.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, Saravanan Kumar berkata, pihaknya melakukan risikan selama sebulan selepas menerima aduan kebanjiran warga asing yang bekerja di kawasan ini.

Menurutnya, operasi kali ini dijalankan bersama secara bersepadu dan menyerbunya secara serentak sebelum berjaya menahan seramai 29 warga asing terdiri seramai 13 Indonesia, Nepal (enam), Thailand (lima), Myanmar (dua), Bangladesh (dua) dan seorang India berusia 25 hingga 40 tahun.

"Dalam serbuan kali ini kita turut menahan dua majikan warga tempatan atas kesalahan mengupah dan melindungi PATI.

"Mereka yang ditahan kerana melakukan beberapa kesalahan kerana tinggal lebih masa, bekerja tanpa permit sah dan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM)," katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tadi.

Beliau berkata, tangkapan dibawa ke JIM Putrajaya untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:43 PM