MANGSA berusia 16 tahun yang berjaya diselamatkan D3 Bukit Aman dalam Ops Pintas Mega. FOTO Ihsan PDRM
MANGSA berusia 16 tahun yang berjaya diselamatkan D3 Bukit Aman dalam Ops Pintas Mega. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Shah Alam: RM3.30 sejam, itu anggaran upah diterima seorang remaja warga asing disyaki menjadi mangsa eksploitasi yang berjaya diselamatkan menerusi Op Pintas Mega di sebuah kedai cuci kereta di sini semalam.

Serbuan itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran-Atipsom, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama pasukan Taskforce NSO MAPO.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati mangsa menerima bayaran kira RM40 dan terpaksa bekerja selama 12 jam sehari.

"Dalam serbuan ini berjaya menyelamatkan seorang mangsa pemerdagangan manusia berusia 16 tahun yang dieksploitasi sebagai buruh kanak-kanak.

"Mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44(1) Akta Antipemerdagangan Orang iaitu remaja lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai pencuci kereta," katanya hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal pihaknya percaya premis itu dimiliki oleh individu warga asing dan mangsa sudah bekerja sebagai pencuci kereta sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, empat lelaki warga asing turut ditahan terdiri daripada seorang penyelia premis dan seorang pencuci kereta warga Bangladesh serta dua pencuci kereta warga Myanmar.

"Penyelia ini akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala pekerja asing pula diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Fokus operasi adalah pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dengan berpandu kepada Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 4:08 PM