MUHAMMAD Shafee, gambar fail. FOTO NSTP
MUHAMMAD Shafee, gambar fail. FOTO NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Peguam bela Datuk Seri Najib Razak berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan mengenai langkah yang diambil oleh Lembaga Pengampunan berkaitan petisyen pengampunan bekas Perdana Menteri itu.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya terkedu bagaimana portal berita Channel News Asia (CNA), membuat spekulasi berita yang tidak berasas bertajuk 'Malaysia set to decide on jailed former PM Najib's high-stakes bid for royal pardon' oleh Leslie Lopez hari ini.

Muhammad Shafee berkata, ia memberi gambaran yang lebih jelas bahawa Najib sendiri tidak tahu menahu mengenai dakwaan CNA itu.

Peguam senior itu berkata, persidangan setiap Lembaga Pengampunan dijalankan secara rahsia di peringkat tinggi, begitu juga nama ahli Lembaga Pengampunan sendiri mahupun tarikh persidangan tidak akan dihebahkan.

Katanya, ahli tetap Lembaga Pengampunan ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri, Menteri Wilayah Persekutuan (dalam perkara Pengampunan Wilayah Persekutuan) dan Peguam Negara.

"Nama ahli yang boleh berubah sentiasa dirahsiakan dan tidak pernah didedahkan. Oleh itu adalah jelas, jika Lembaga Pengampunan bersidang untuk menimbangkan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib, ia akan dijalankan secara rahsia kerana dikawal oleh Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Dalam artikel CNA itu, menyatakan kononnya Yang di-Pertuan Agong akan menentukan tidak lama lagi sama ada pengampunan diraja akan diberikan kepada Datuk Seri Najib.

"Penulis menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada Disember 2023 mengenai perkara petisyen itu, tetapi ditangguhkan ke bulan ini (Januari 2024) untuk Lembaga Pengampunan bersidang semula," katanya.

Muhammad Shafee berkata, seperti diketahui umum, petisyen pengampunan Najib diserahkan kepada Lembaga Pengampunan melalui Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Putrajaya pada 1 Januari 2022.

Peguam itu berkata, selepas itu ia diikuti adendum (penambahan) pada 18 Oktober 2022 dan 20 April lalu yang mengandungi maklumat lanjut untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong berhubung petisyen pengampunan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga hampir penghujung tahun lalu, pihaknya tidak menerima sebarang berita atau petunjuk berhubung petisyen itu, dan anak guam mengarahkannya supaya mengingatkan BHEUU pada 4 Disember tahun lalu mengenainya.

"Kami ingin mengingatkan media dan orang ramai bahawa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa pengampunan adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak terkekang, tidak terikat, dan sifatnya mutlak.

"Oleh itu, ia adalah tindakan yang tidak hormat untuk meneka aktiviti Lembaga Pengampunan, yang sifat kerjanya mesti dijalankan secara rahsia untuk berkesan dalam memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Pelanggaran kerahsiaan ini boleh dikatakan melanggar Akta Rahsia Rasmi, 1972 dan boleh dihukum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 7:19 PM