NAJIB. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAJIB. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong dengan segera bagi mendapatkan keampunan, menunda atau mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan mengurangkan hukuman membabitkan kesalahan yang dibicara dan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Katanya, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri Negeri (dalam kes Najib Menteri Wilayah Persekutuan dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Bagaimanapun, mengikut Perkara 42 (9), Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan sebarang pendapat bertulis yang dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.

"Sekiranya Najib memohon pengampunan diraja, maka, ia akan diproses mengikut peraturan dan dibentangkan oleh Lembaga Pengampunan. Oleh itu, masih terdapat saluran untuk Najib mendapat keampunan atau dikurangkan hukuman," katanya ketika dihubungi BH.

Tambahnya lagi, seseorang yang sudah disabitkan, kebiasaannya akan menjalani dua pertiga daripada hukuman yang dijatuhkan terhadapnya, manakala baki satu pertiga akan mendapat pengurangan secara automatik sekiranya berkelakuan baik.

Abu Talib adalah Timbalan Pendakwa Raya ketika bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris disabitkan atas kesalahan rasuah pada 1977 dan kemudian menjadi Peguam Negara ketika bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, disabitkan membunuh Datuk Mohamad Taha Talib, Speaker Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, pada tahun 1983.

Harun mendapat pengampunan diraja pada 1982, manakala Mokhtar dibebaskan daripada hukuman itu pada tahun 1991.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, berkata mengikut Peraturan 113 Peraturan-peraturan Penjara 2000, petisyen pengampunan itu boleh dilakukan oleh Najib, ahli keluarga atau peguam yang dilantik oleh bekas Perdana Menteri itu.

"Petisyen pengampunan itu perlu dikemukakan kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan iaitu Seksyen Dasar, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, di Putrajaya.

"Petisyen pertama, boleh dibuat seberapa segera yang dapat dilaksanakan oleh Najib selepas sabitannya, namun, petisyen buat kali kedua hanya dibenarkan apabila seseorang banduan sudah menyempurnakan tiga tahun dari tarikh sabitan.

"Bagaimanapun, berdasarkan kes sebelum ini, khususnya membabitkan Datuk Seri Harun Idris, Datuk Mokhtar Hashim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sudah menjalani sebahagian daripada hukuman sebelum suatu pengampunan diberikan," katanya.

Pada 16 Mei 2018, Anwar diberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 3:09 PM