NAJIB, gambar fail. FOTO Reuters
NAJIB, gambar fail. FOTO Reuters
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Kuasa Pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak terhad kepada mengurangkan hukuman penjara atau pengampunan penuh terhadap mana-mana banduan.

Peguam kanan, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, berkata sebaliknya kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong turut terpakai kepada Seksyen 43 Akta Penjara iaitu membenarkan pelepasan atas lesen bagi banduan yang menjalani tempoh pemenjaraan.

Katanya, Titah Yang di-Pertuan Agong wajar dikuatkuasakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam cara yang konsisten dengan undang-undang.

"Kuasa pengampunan adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Andaian yang sepatutnya dibuat adalah Tuanku menerima nasihat dari pihak-pihak yang berkenaan dan membuat titah pengampunan dengan sewajarnya.

"Dalam keadaan sedemikian, secara amnya, titah Yang di-Pertuan Agong wajar diterima dan tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak lain," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa peguam yang melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan Datuk Seri Najib Razak mengenai Titah Adendum supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan menjalani tahanan rumah.

Pengamal undang-undang berkenaan mempersoalkan apakah pengampunan diraja boleh meliputi "peruntukan tahanan rumah."

Nizam berkata, terdapat dua kes yang menyentuh mengenai isu kuasa pengampunan, iaitu Sim Kie Chon [1985] 2 MLJ 385 dan Karpal Singh v Sultan of Selangor [1985] 1 MLJ 64.

"Kedua-dua kes berkenaan mengesahkan pendekatan dan falsafah yang didukung oleh mahkamah bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa prerogatif dan Mahkamah tidak berkemampuan untuk menghalusinya kembali," katanya.

Najib, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu.

Bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 5:05 PM