Mohd Iskandar Ibrahim dan Latifah Arifin

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap individu yang yang disabitkan hukuman, berhak memohon pengampunan.

Beliau berkata, setiap permohonan yang dibuat kepada Lembaga Pengampunan itu, akan diteliti selayaknya tanpa memihak atau prejudis.

"Seperti yang saya sebut sebelum ini, setiap orang yang dijatuhkan hukuman, ada hak untuk memohon (pengampunan).

"Malah setiap permohonan itu disemak berlandaskan asas selayaknya tanpa prejudis," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pekerja 2023 di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menyatakan pendiriannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

ANWAR ketika sidang media Sambutan Hari Pekerja 2023 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ANWAR ketika sidang media Sambutan Hari Pekerja 2023 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat baru-baru ini memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilapor berkata ia sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan yang bersidang Jumaat lalu, tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Najib, untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.

Ketika persidangan terbabit, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.

Isu pengampunan Najib turut mendapat bantahan apabila Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, menerusi kenyataannya merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Kenyataan itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Umno apabila Umno Kelantan memberi kata dua kepada Khalid, sama ada memohon maaf atau berdepan penarikan balik kerjasama antara parti di negeri itu.

Susulan itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, memohon maaf kepada Umno di atas keterlanjuran kenyataan yang dikeluarkan Khalid berhubung isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 1:55 PM