Mohd Nasaruddin Parzi


Putrajaya: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan menyedari rancangan sulit yang dipanggil 'Langkah Dubai' untuk menggugat kedudukan kerajaan, namun menyifatkan langkah itu hanya membuang masa.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini, beliau menjelaskan, sebarang langkah menukar kerajaan menerusi akuan bersumpah (SD) bukan satu cara yang baik.

"Laporan daripada segi perisikan memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu (di Dubai). Laporan selepas itu kami peroleh juga, tapi pada hemat kami, langkah itu hanya membuang masa.

"Tidak ada langkah yang mendasarkan keputusan itu hanya kepada akuan bersumpah dan saya fikir langkah yang mereka lakukan bukan satu langkah baik kerana mereka sudah lakukan 'tebuk atap' ini beberapa kali," katanya.

Beliau berkata, pemimpin yang terbabit, khususnya daripada Umno, perlu menyedari mereka terikat dengan undang-undang bertukar parti serta keputusan dasar parti.

"Kita harus husnuzon dalam perkara yang begini, bahawa apa pun langkah yang dilakukan, mereka harus melihat terdapat akta anti-lompat parti yang mereka sedia faham. Ia memerlukan keputusan besar kepada parti dan ia membabitkan keputusan secara 'en bloc'.

"Apa yang penting, apabila rakyat sudah beri mandat kepada parti dan dokongan kepada ahli-ahli Parlimen dipilih dan kini kita dapati Kerajaan Perpaduan ada sokongan dua pertiga, ertinya rakyat harus diberikan keadilan supaya politik dimantapkan," katanya.

Keutamaan kerajaan ketika ini kata beliau adalah untuk membangunkan negara, terutama daripada segi membangun ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

"Bukan soal-soal politik. Tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kalau mereka mahu tukar kerajaan. Kerajaan yang ada akan beri tumpuan untuk perkukuhkan ekonomi, membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Desas-desus muncul sebelum ini mengenai Langkah Dubai yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang, termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Cubaan didakwa itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop.

Selain pemimpin pembangkang, Langkah Dubai didakwa turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh bergelar Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dituduh menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 1:15 PM
ZAHID bercakap ketika sidang media selepas mempengerusikan taklimat dan penyelarasan situasi bencana banjir terkini di Bangunan Perdana Putra. FOTO Asyraf Hamzah
ZAHID bercakap ketika sidang media selepas mempengerusikan taklimat dan penyelarasan situasi bencana banjir terkini di Bangunan Perdana Putra. FOTO Asyraf Hamzah