Johari Abdul
Johari Abdul
Farah Marshita Abdul Patah

[email protected]'

Kuala Lumpur: Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat setakat ini, belum menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, daripada mana-mana pihak, termasuk pembangkang untuk sidang Parlimen akan datang.

Perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tadi.

"Tiada setakat ini," katanya ringkas.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pembangkang dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

Kontroversi mengenai sokongan terhadap Anwar mula bertiup kencang susulan tulisan seorang penulis blog yang mendakwa pembangkang berjaya memperoleh sekitar 120 akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar.

Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

10 lagi ahli Parlimen Bersatu bakal menyusul sebagaimana didedahkan Syed Abu Hussin membabitkan lima ahli Parlimen dari kawasan utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta tiga dari kawasan timur iaitu masing-masing Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 3:32 PM