ZAINAL (tengah) menaiki bot untuk meninjau lokasi banjir termenung di sekitar Pengkalan Kubor. FOTO Siti Rohana Idris
ZAINAL (tengah) menaiki bot untuk meninjau lokasi banjir termenung di sekitar Pengkalan Kubor. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Pasukan bomba tetap membuat pemantauan dan kawalan berterusan di kawasan banjir di Pasir Mas serta Tumpat meskipun air semakin surut.

Pengarah Bomba Kelantan, Zainal Madasin berkata, banjir termenung masih berlaku di dua daerah berkenaan, malah, di sesetengah kawasan penduduk masih menggunakan bot atau perahu untuk pergerakan keluar masuk berikutan paras air melebihi 0.7 meter (m).

"Kami masih memantau lokasi yang mengalami banjir termenung di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor kerana ada sesetengah tempat, paras air masih dalam terutama sawah padi yang seakan lautan.

"Selain itu kami juga menjalankan khidmat khas dengan membawa makanan untuk ternakan dan kucing yang ditinggalkan pemilik ketika banjir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Teluk Jering, di sini, hari ini.

Zainal berkata, walaupun situasi banjir termenung dianggap tidak bahaya, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu leka meredah air kerana dikhuatiri ada bahaya yang menanti.

Katanya, paras air di Kampung Kubang Sawa, Kuala Jambu dan Naga Ibu di Pengkalan Kubor masih tinggi iaitu melebihi satu meter.

"Kita tidak tahu apa bahaya dalam air itu yang mungkin benda tajam atau haiwan berbisa yang boleh mengancam keselamatan," katanya.

Setakat ini, sebanyak lapan PPS masih dibuka di daerah ini dengan bilangan mangsa seramai 1,342 orang.

Terdahulu Zainal bersama Pengerusi Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Hussin serta badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce mengagihkan 100 bungkusan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Teluk Jering.

Sementara Raja Shamri berkata, agihan turut dibuat kepada penduduk di Kampung Kubang Sawa termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kita sudah mengagihkan kira-kira 2,000 pek makanan dan keperluan kepada mangsa banjir di seluruh negeri ini bagi meringankan beban mereka.

"Mungkin akan ada lagi penambahan agihan ke beberapa lokasi yang diperlukan bergantung kepada keperluan atau jika dilanda banjir lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 4:11 PM