JOHAN Ariff (kanan) menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
JOHAN Ariff (kanan) menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Tumpat: Ada yang terpaksa meredah air manakala segelintir lagi dilihat menaiki perahu atau bot.

Itu situasi yang dapat dilihat di Kampung Kubang Sawa di sini, ketika penduduk yang terkesan akibat banjir datang menerima sumbangan keperluan makanan di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Zaibah Yunus, 56, berkata, air termenung setinggi 0.7 meter di kawasan rumahnya sejak lima hari lalu akibat hujan lebat dan limpahan Sungai Golok menyebabkan dia terpaksa menggunakan perahu untuk bergerak.

"Pagi tadi saya sempat mengambil ikan darat di pukat sebelum bergegas ke sini untuk menerima sumbangan makanan dengan ditemani cucu, Dya Batrisya Rukimin, 10.

"Setiap tahun beginilah situasi yang kami alami kerana mengalami banjir termenung dan saya jangkakan dalam masa beberapa hari lagi limpahan air sungai (Golok) akan datang lagi kerana masih dalam musimnya (tengkujuh)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zaibah adalah antara 150 penerima sumbangan yang diagihkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menerusi I-Reach membabitkan beberapa kampung termasuk Kubang Sawa, Kuala Jambu, Derdap dan Bendang Pak Yong.

Pengarah I-Reach, Johan Ariff Ismail berkata, agihan bantuan dalam bentuk beras, telur, minyak masak dan tepung gandum itu mendapat kerjasama daripada badan bukan kerajaan Prihatin dan Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang (Insaniah) kepada penduduk yang terjejas banjir.

"Setakat fasa pertama dalam tempoh banjir di Kelantan, kami sudah membuat agihan kepada 700 penerima manakala sasaran adalah 1,000.

"Sebelum ini kami sudah mengagihkan kepada penduduk di Kampung Lanchang serta Tersang di Rantau Panjang dan selepas ini akan diteruskan ke lokasi lain yang belum dikenalpasti," katanya.

Bagi Mokhtar Mat Yusof, 53 pula, kebanyakan penduduk di beberapa kampung berhampiran Sungai Golok di Pengkalan Kubor di sini, memang memiliki bot atau perahu untuk kegunaan ketika banjir.

"Masalah kami di sini adalah hujan dan limpahan air dari Sungai Golok yang menyebabkan kejadian banjir termenung akibat tiada saliran keluar seterusnya memakan masa antara dua minggu hingga lebih sebulan untuk surut.

"Masalah ini dialami sejak sekian lama dan menyukarkan rutin harian jika berlaku banjir termenung dalam tempoh masa lama," katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 4:10 PM