Siti Rohana Idris


Tumpat: Banjir termenung di sekitar Pengkalan Kubor di sini yang memasuki hari keenam menyaksikan masih banyak kampung yang digenangi air termasuk Kampung Simpangan.

Bagaimanapun, ia bukan alasan buat penduduk untuk meninggalkan solat Jumaat, hari ini malah ada antara mereka yang meredah banjir untuk ke Masjid Mukim Simpangan Hilir, di sini atau menaiki bot.

Dianggarkan 120 jemaah hadir manakala, bot masing-masing 'diparkir' di tepi masjid.

Seorang penduduk, Alif Danial Mohd Junid, 20, berkata, banjir yang berlaku setiap tahun menyebabkan mereka lali dan tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.

"Kalau ikutkan keadaan sekitar kampung dan rumah saya sendiri masih digenangi air namun sepupu yang mempunyai bot datang mengambil kami untuk ke masjid.

"Memang sudah biasa begini dan disebabkan majoriti penduduk kampung ada bot, maka tiada alasan untuk jemaah ponteng solat Jumaat," katanya.

Md Mahzam Yusop, 40, pula berjalan sejauh 200 meter dari rumahnya, dan meredah air setengah meter untuk ke masjid itu.

Katanya, rumahnya ditenggelami banjir dan air surut amat perlahan ditambah hujan pada hari ini.

"Tapi saya sudah biasa, banjir termenung begini biasa dialami penduduk di sini. Cuma yang luar biasanya adalah fenomena ini berlaku pada penghujung Februari," katanya.

Selain masjid itu, dua lagi masjid turut terjejas banjir ialah di Kampung Bendang Pak Yong dan Kubang Sawa.

Kira-kira 10 kampung dilanda banjir termenung antaranya, Kampung Kuala Jambu, Kubang Sawa, Naga Ibu, Bendang Pak Yong, Simpangan, Kajang Sebidang, Derdap, Teluk Jering dan Jejulok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 3:48 PM
PENDUDUK meredah banjir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENDUDUK meredah banjir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar