Siti Rohana Idris


Tumpat: Pelbagai cara sama ada menaiki kenderaan, meredah air secara berjalan kaki atau menggunakan bot, 50 pelajar Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah dari Kampung Menjual, di sini, tetap bersemangat mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di lokasi memerlukan.

Kali ini, mereka membantu 200 penduduk Kampung Jejulok yang terkepung akibat banjir termenung.

Proses agihan bermula dengan menaiki 10 pacuan empat roda yang dipenuhi barangan keperluan asas termasuk makanan serta kit kebersihan sebelum berjalan kaki mengharung air sehingga paras 0.5 meter berjalan dari rumah ke rumah menyerahkan bungkusan bantuan.

Pengasas yang juga mudir madrasah, Abu Aswad Yah berkata, sumbangan itu sudah bermula sejak banjir gelombang pertama lagi dan agihannya dilakukan di beberapa lokasi yang memerlukan.

"Kami sendiri yang agihkan kepada penerima dengan cara turun padang sama ada meredah air dengan pacuan empat roda, berjalan kaki ke laluan yang sempit malah menaiki bot jika air masih dalam.

"Setakat ini kami sudah membuat agihan sekitar 5,000 pek sumbangan membabitkan beberapa kampung di Tumpat, Rantau Panjang termasuk Pahang di lebih lima lokasi di sana," katanya ketika ditemui ketika agihan di Kampung Jejulok di sini, hari ini.

SEBANYAK 200 pek barangan makanan dan kit kebersihan diri diagihkan kepada penduduk Kampung Jejulok yang dilanda banjir termenung. FOTO Siti Rohana Idris
SEBANYAK 200 pek barangan makanan dan kit kebersihan diri diagihkan kepada penduduk Kampung Jejulok yang dilanda banjir termenung. FOTO Siti Rohana Idris

Abu Aswad berkata pihaknya juga akan ke beberapa lokasi lagi selepas ini termasuk sekitar delta Sungai Kelantan yang dikenalpasti terputus bekalan makanan ketika banjir gelombang ketiga baru-baru ini kerana penduduk tidak berani untuk meredah sungai disebabkan arus yang kuat.

Kampung Jejulok di sini antara lebih 10 kampung yang dilanda banjir termenung selain Kampung Kajang Sebidang, Kubang Sawa, Bendang Pak Yong, Simpangan, Kuala Jambu, Naga Ibu dan Teluk Jering.

Penduduk kampung, Marlina Che Musa, 50 berkata, situasi banjir termenung sudah dialami penduduk sejak sekian lama disebabkan air akibat hujan serta limpahan Sungai Golok tiada saluran untuk keluar.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan air yang bergenang di sekitar kampung memakan masa antara seminggu hingga dua minggu untuk surut sepenuhnya dan ia sangat memberi kesan kepada penduduk dalam menjalankan rutin harian.

"Untuk banjir gelombang ketiga ini, air naik sejak Jumaat lalu dan ia mencecah 0.8 meter malah sudah memasuki ruang dalam rumah menyebabkan segala perkakas elektrik dan perabot terpaksa diletakkan di tempat tinggi.

"Kami juga sudah menyiapkan bekalan makanan seperti beras, telur dan sardin lebih awal kerana lazimnya laluan memang terputus dan hanya boleh bergerak dengan bot atau perahu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 2:50 PM