Gambar hiasan
Gambar hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang pesara wanita berusia 65 tahun kerugian RM730,000 akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Instagram.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, wanita terbabit berminat menyertai satu skim pelaburan saham yang dijanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus melalui laman sosial itu pada 14 Mac lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat pendaftaran melalui satu platform saham bagi tujuan pelaburan.

"Sepanjang tempoh dari 20 April hingga 9 Jun lalu, mangsa memindahkan wang berjumlah RM730,000 dengan melakukan 19 transaksi kepada 14 akaun yang berbeza.

"Pada peringkat awal, mangsa berjaya mengeluarkan wang keuntungan berjumlah RM5,000. Bagaimanapun, selepas itu, laman sesawang terbabit tidak dapat diakses.

"Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada rakan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes terbabit, Yahaya menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 10:51 AM