GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Asrol Awang

Kuantan: Pekebun sayur di Cameron Highlands kerugian RM108,344 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 34 tahun itu menerima mesej melalui WeChat untuk mendapatkan nombor telefonnya pada 30 Ogos lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya menerima pautan untuk menyertai skim pelaburan saham dan diminta membeli 'point' dalam skim terbabit bagi mendapatkan keuntungan.

"Mangsa membuat sebanyak tujuh transaksi kepada empat akaun yang berbeza dan menyedari ditipu apabila kerugian RM108,344.

"Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada wang simpanan sendiri. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan.

"Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima daripada pautan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 3:20 PM