Asrol Awang


Kuantan: Lelaki warga emas terpaksa menerima hakikat kerugian lebih RM1.43 juta akibat terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, pesara swasta berusia 70 tahun itu menyertai pelaburan saham itu pada awal Oktober tahun lalu selepas dijanjikan keuntungan lumayan melalui laman sosial Facebook.

Katanya, mangsa diminta membuka akaun saham dan mengikuti kelas saham selama lapan bulan di satu laman sesawang.

"Mangsa mula membuat pelaburan berjumlah RM20,000 dan memperolehi keuntungan sebanyak RM4,000.

"Akibat percaya, mangsa menambah modal dengan membuat transaksi sebanyak 19 kali kepada lapan akaun bank berlainan sehingga mengalami kerugian RM1,430,810.

"Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada wang simpanan mangsa. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Yahaya menasihati orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 3:23 PM