Asrol Awang

Kuantan: Seorang pembantu kedai alat ganti kenderaan berputih mata selepas wang simpanan dan pinjaman berjumlah RM521,000 lesap kerana terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki dari Bentong berusia 39 tahun itu berminat menyertai satu skim pelaburan saham yang dijanjikan keuntungan 15 peratus melalui Facebook pada 31 Disember tahun lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat pendaftaran melalui laman sesawang iaitu platform saham bagi tujuan pelaburan terbabit.

"Pada peringkat awal, mangsa berjaya mengeluarkan wang pulangan sebanyak RM1,000 dengan pelaburan RM50,000.

"Bagi tempoh 25 Januari hingga 3 Februari lalu, mangsa menambah pelaburan iaitu dengan memindahkan wang berjumlah RM521,000 dengan 15 transaksi kepada empat akaun yang berbeza.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM1,767,258 melalui laman sesawang yang didaftarkan itu.

"Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada simpanan mangsa dan pinjaman daripada ahli keluarganya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 3:03 PM