FATIN Noor Shahira menyusukan bayinya di PPS. FOTO Nazdy Harun
FATIN Noor Shahira menyusukan bayinya di PPS. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: "Melihat keadaan semakin membimbangkan, saya empat beranak nekad mendukung anak bongsu Bibi Afia Mohd Sabri, berusia 90 hari.

"Manakala anak sulung berusia 10 tahun memimpin adiknya berusia enam tahun meredah banjir sejauh 200 meter ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," kata Fatin Noor Shahira Mohd Fadli, 26, dari Kampung Pengkalan Ajal, dekat sini.

Menurutnya, kedudukan rumah berhampiran Sungai Berang, sememangnya berisiko untuk berlakunya limpahan air sungai secara mendadak.

Katanya, bimbang keselamatan bayi yang masih kecil berikutan paras air mula menenggelamkan rumah sedalam 0.5 meter ketika itu, menyebabkan dia nekad meredah banjir untuk ke PPS Kampung Pengkalan Ajal.

"Mujur limpahan air berlaku pada waktu siang iaitu kira-kira 11 pagi semalam kerana memudahkan saya untuk membawa tiga anak ke PPS.

"Paling ditakuti sekiranya banjir berlaku pada sebelah malam kerana menyukarkan saya untuk berpindah kerana mempunyai anak yang masih kecil," katanya.

Jirannya, Wan Nor Zaima Wan Muhamad, 47, berkata, ini pengalaman pertamanya berdepan banjir selepas dia menyewa sebuah rumah di kampung itu.

"Saya tidak tahu keadaan banjir di kampung ini macam mana dan sebaik diberitahu jiran mengenai limpahan air akan berlaku kira-kira 2 pagi Sabtu, saya nekad pulang selepas menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu.

"Saya tidak pulang ke rumah malah terus ke PPS Kampung Pengkalan Ajal dan pada malam itu hanya saya sekeluarga bermalam di PPS berikutan keluarga lain belum berpindah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 1:14 PM