Siti Rohana Idris


Tumpat: Sudah seminggu banjir melanda di lebih 10 kampung sekitar Pengkalan Kubor di sini dan limpahan air masih kelihatan di beberapa lokasi.

Tidak terkecuali laluan menuju ke Masjid As-Solihin, Kampung Bendang Pak Yong, di sini yang masih lagi digenangi air sehingga paras 0.4 meter.

Rata-rata jemaah yang hadir untuk menunaikan Solat Jumaat meredah limpahan air kira-kira sejauh 200 meter sebelum tiba di perkarangan masjid.

Ada yang berjalan, berbasikal, memandu pacuan empat roda malah ada juga mengambil risiko menunggang motosikal.

Imam Tua masjid itu, Anuar Daud berkata, air mulai melimpah ke beberapa kampung di sekitar antaranya Kampung Kubang Sawa, Kuala Jambu, Simpangan, Kajang Sebidang, Teluk Jering dan Bendang Pak Yong sendiri sejak petang Sabtu lalu dan menjelang malam, limpahannya semakin tinggi.

"Masjid ini tidak terkecuali dinaiki air yang mana limpahannya hampir mencecah satu meter dan hampir memasuki dalam masjid pada permulaan banjir lalu.

"Setiap hari saya akan datang ke masjid untuk meninjau paras air dan keadaan masjid kerana bimbang berlaku seperti banjir besar pada 2014 yang mana air memasuki hingga ke dalam masjid menyebabkan urusan keagamaan tidak dapat dijalankan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anuar berkata, lazimnya kawasan kampung itu dinaiki air, jemaah masjid akan datang menunaikan Solat Jumaat dengan menaiki bot dan pengangkutan itu akan diparkir berhampiran tangga.

Menurutnya lagi, banjir biasanya berlaku sehingga gelombang ketiga dan dalam tempoh itu pasti ada sekali Solat Jumaat tidak dapat dilakukan berikutan jemaah tidak mencukupi bilangan disebabkan ada mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan banyak kawasan yang dinaiki air.

"Sejak dua hari lalu air mulai surut dan berasa lega kerana perkarangan masjid sudah tiada limpahan air yang membolehkan Solat Jumaat boleh berlangsung dengan baik hari ini," katanya sambil meluahkan syukur dengan pengumuman persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk mempercepatkan pembinaan projek tebatan banjir bernilai RM1.5 bilion.

Selain Masjid As-Solihin, Masjid Kampung Kubang Sawa turut terjejas setiap kali berlaku banjir dan rumah ibadat itu akan menjadi seperti pulau kerana air memenuhi kawasan bendang padi di sekitarnya.

Penduduk Kampung Kajang Sebidang, Shahruddin Mohd Nor, 43, berkata, kebiasaannya banjir termenung yang melanda di lebih 10 kampung itu akan surut sepenuhnya antara seminggu hingga tiga minggu berikutan tiada saliran untuk keluar ke Sungai Golok.

"Walaupun sudah lali dengan situasi sebegini, kami tetap berasa terbeban terutama bagi penduduk kampung yang bekerja secara gaji harian kerana sukar untuk keluar ke tempat kerja.

"Setiap kali dilanda banjir, kami akan menaiki bot sama ada milik sendiri atau penambang meredah kawasan kampung dan bendang padi yang sudah seperti lautan untuk keluar bekerja," katanya.

JEMAAH terpaksa meredah limpahan air kira-kira sejauh 200 meter sebelum tiba di Masjid As-Solihin untuk Solat Jumaat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
JEMAAH terpaksa meredah limpahan air kira-kira sejauh 200 meter sebelum tiba di Masjid As-Solihin untuk Solat Jumaat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 4:44 PM