Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang ibu nekad meredah banjir bersama bayi lelakinya berusia empat hari selepas rumahnya di Kampung Gong Tok Nasek di sini dinaiki air semalam.

Robi Mohd, 40, yang juga ibu kepada lapan anak itu meredah air sedalam 0.3 meter sejauh hampir 400 meter dari rumahnya ke Masjid Kampung Gong Tok Nasek di sini.

Menurut Robi, dia mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediamannya mula dinaiki air sejak pagi semalam susulan hujan berterusan bermula malam Ahad.

"Memang biasa kawasan kediaman dinaiki air tetapi kali ini air naik terlalu cepat menyebabkan saya mengambil keputusan berpindah lebih awal kerana bimbang air semakin tinggi.

"Lagipun saya bimbang keselamatan anak-anak yang masih kecil selain saya sendiri yang baharu sahaja melahirkan anak kelapan pada Sabtu lalu," katanya ketika ditemui di PPS di Sekolah Kebangsaan Chendering di sini hari ini.

Robi bersama bayi lelakinya yang berusia 4 hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Robi bersama bayi lelakinya yang berusia 4 hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Robi bersama keluarganya antara 170 mangsa banjir daripada 52 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan selepas rumah mereka dilanda banjir gelombang pertama bermula semalam.

Robi yang pertama kali berpindah ke PPS berkata, dia sebelum ini hanya mendengar mengenai mangsa banjir yang terpaksa meredah banjir bersama bayi mereka di televisyen, surat khabar dan media sosial.

"Biasa lihat di televisyen atau surat khabar tetapi kali ini, saya sendiri mengalaminya dan memang berdebar kerana membawa bayi selain anak-anak lain yang masih kecil.

"Dalam proses itu, suami, Badrul Hashim Badurddin, 39 bergilir-gilir membawa saya dan anak-anak dari rumah ke masjid sebelum kami dibawa anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) ke PPS ini," katanya yang sudah lapan tahun tinggal di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 3:05 PM