ARMIZAN ditemui pemberita selepas merasmikan trek larian getah sintetik Padang Pekan Papar, hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
ARMIZAN ditemui pemberita selepas merasmikan trek larian getah sintetik Padang Pekan Papar, hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Rafiqah Dahali


Papar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta 47 mangsa penipuan pakej umrah mengemukakan aduan rasmi untuk diperincikan secara teliti.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai gesaan 47 mangsa terbabit untuk mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pelancongan selepas gagal membayar ganti rugi seperti diminta Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

"Kita menerima maklumat itu dan kita di KPDN telah menghubungi mereka yang mengutarakan isu berkenaan untuk mengemukakan aduan rasmi.

"Jadi melalui aduan rasmi kita akan mendapat maklumat sebenarnya dan kita akan melihat daripada sudut mana unsur-unsur penipuan atau salah guna yang dilakukan. Kita menunggu aduan rasmi daripada pihak berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Trek Larian Getah Sintetik Padang Pekan Papar dan Program Jualan Rahmah, di sini, hari ini.

Semalam, Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) membawa kumpulan 47 mangsa penipuan pakej umrah untuk menyerahkan surat aduan kepada KPDN.

Kumpulan terbabit mahu supaya syarikat itu dikenakan tindakan undang-undang lebih tegas kerana didakwa memperdayakan ramai mangsa lain sebelum ini.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, TTPM sudah menganugerahkan 'award' kepada mangsa pada Oktober lalu susulan aduan yang dikemukakan.

Bagaimanapun, menurutnya pihak syarikat masih gagal membayar ganti rugi seperti diminta TTPM dan mereka seolah-olah ingkar dengan 'award' yang diberikan tribunal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 12:08 PM