MOHD Nizam dibawa dari lokap mahkamah selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Majistret Alor lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Nizam dibawa dari lokap mahkamah selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Majistret Alor lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Syarikat pengendali pakej umrah didenda RM80,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana gagal mematuhi 26 'award' (pampasan) dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dalam tempoh 14 hari, tiga tahun lalu.

Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhi hukuman itu terhadap Massnizam Group Travel and Tours Sdn Bhd sebaik Mohd Nizam Noh, 50, selaku pengarah syarikat terbabit mengaku bersalah atas semua 26 pertuduhan yang dihadapi syarikat itu melalui prosiding yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Dalam prosiding berlangsung semalam, syarikat itu didenda sebanyak RM3,000 untuk setiap satu daripada keseluruhan 13 kes yang dihadapkan terhadapnya.

Bagaimanapun untuk pertuduhan hari ini, syarikat itu didenda RM3,000 bagi setiap satu daripada 10 kes manakala RM3,300, RM3,500 dan RM4,500 bagi tiga lagi pertuduhan terhadapnya.

Sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu, mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan terhadap syarikat terbabit.

Mohd Nizam ketika ini difahamkan sedang menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Penjara Kluang atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua 'award' dikeluarkan TTPM yang gagal dipatuhi itu bertarikh 3 Mac 2020.

Bagaimanapun, menerusi 'award' dikeluarkan TTPM itu, syarikat terbabit diarahkan untuk membayar balik wang berjumlah RM395,737 kepada 26 individu dalam tempoh 14 hari sejak 3 Mac 2020 namun bayaran itu langsung tidak dilakukan sehingga kini.

Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu Muhammad Nizam Amer, Saiful Saidin dan Mohd Hilmi Abu Hassan mengikut 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 manakala syarikat berkenaan tidak diwakili peguam.

Terdahulu ketika diberi peluang membuat rayuan, Mohd Nizam yang hadir ke mahkamah dengan diiringi pegawai penjara merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Malah sekiranya dihukum penjara, dia memohon supaya terus ditempatkan di Penjara Kluang kerana sedang menjalani kelas tahfiz di situ, bagi memperbaiki dirinya.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal, dengan mengambil kira kepentingan awam dalam kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 6:06 PM