Suraya Roslan


Putrajaya: Suami isteri yang juga Pengarah Emraz Travel & Tours Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjumlah RM589,031, tahun lalu.

Bagaimanapun, Datuk Zulkarnain Endut, 43, dan isteri Datin Mazuin Mustafa, 43, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Emraz Travel & Tours, Zulkarnain dan Mazuin selaku Orang Kena Saman (OKS) masing-masing didakwa atas 21 pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM589,031 kepada 21 mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Jun 2023 hingga 25 Ogos 2023 di Pejabat TTPM di Aras 5, Podium 2, No 13, Persiaran Perdana Presint 2, di sini.

Bagi semua kesalahan, syarikat dan kedua-dua pengarah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

ZULKARNAIN dan isterinya didakwa gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjumlah RM589,031. FOTO Hazreen Mohamad.
ZULKARNAIN dan isterinya didakwa gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjumlah RM589,031. FOTO Hazreen Mohamad.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan masing-masing seorang penjamin warga tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini.

"Untuk makluman mahkamah, kes ini membabitkan keingkaran award berjumlah RM589,031 membabitkan 21 mangsa.

"Dalam siasatan keseluruhan, hampir 100 award membabitkan semua OKS ini yang mana pertuduhan bermula di hadapan puan (Majistret Irza Zulaikha) dan teruskan jadual 'roadshow' ke seluruh negara," katanya.

Mohd Sophian berkata, perintah award itu diberikan berikutan kegagalan OKS menunaikan tanggungjawab untuk menghantar mangsa ke Tanah Suci.

"Mangsa-mangsa ini adalah orang kebanyakan yang mengumpul wang untuk mengerjakan umrah, kesusahan ditanggung (bila) wang tidak diberikan dan tidak dapat menunaikan umrah," katanya.

Peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili OKS membantah permohonan pendakwaan dengan mengatakan jaminan tidak diperlukan dalam kes itu.

"Tujuan jaminan bagi memastikan kehadiran OKS ke mahkamah dan ini tidak menampakkan satu hukuman.

"Dalam situasi ini, (OKS dikenakan) 63 pertuduhan kerana tidak dapat menepati award akibat ketidakmampuan kewangan," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Irza Zulaikha menetapkan jaminan RM6,300 untuk kedua-dua pengarah dengan seorang penjamin dan syarat seperti diminta pihak pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 4:33 PM