ANTARA suspek yang ditahan disyaki terbabit kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya. FOTO Ihsan Polis
ANTARA suspek yang ditahan disyaki terbabit kes pecah rumah di sekitar Petaling Jaya. FOTO Ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Polis berjaya menumpaskan dua 'geng' disyaki terbabit dengan jenayah pecah rumah dan sekolah sekitar daerah ini, menerusi serbuan berasingan di sini.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, seorang suspek yang juga ahli Geng Janggut didapati mempunyai 20 rekod kesalahan lampau.

"Tiga suspek berusia lingkungan 37 hingga 40 tahun disyaki terbabit dengan tujuh kes pecah rumah di sekitar Seksyen 17 di sini pada 10 Disember lalu membabitkan kerugian mencecah RM146,000.

"Pasukan Task Force Khas Pintu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya membuat tangkapan ke atas kesemua suspek terbabit sekitar Seksyen 14, dua hari kemudian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati seorang suspek mempunyai 20 rekod lampau manakala rakannya mempunyai 12 dan tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah.

Katanya, kesemua suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, M Hussin Sollehuddin berkata, pasukan Task Force Khas Pintu menahan dua lelaki disyaki ahli kumpulan Geng Deva kerana disyaki terbabit dalam lima kes pecah sekolah di sekitar Petaling Jaya.

"Pada 11.38 malam 27 November lalu, polis menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk yang berlaku di Jalan Changai, di sini.

"Bertindak atas maklumat pasukan Task Force Khas Pintu membuat tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berusia 16 dan 21 tahun di sekitar Desa Mentari pada 11 Disember," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih mengesan suspek ketiga yang masih lagi bebas manakala semakan ke atas dua suspek yang ditahan mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu katanya, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dengan empat kes pecah rumah di sekitar Damansara Damai, di sini.

"Pasukan Task Force Khas Pintu menahan suspek berusia 33 tahun pada 14 Disember di sekitar Lembah Klang.

"Suspek mempunyai satu rekod jenayah dan tiga rekod kesalahan narkotik malah ujian air kencing didapati positif methamphetamine," katanya.

Katanya, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 4:13 PM