Suspek pecah cermin kereta dan hasil curi yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah kediaman di Dataran Sunway. FOTO Ihsan PDRM
Suspek pecah cermin kereta dan hasil curi yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah kediaman di Dataran Sunway. FOTO Ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin


LELAKI disyaki aktif melakukan kegiatan pecah cermin kereta dicekup hasil serbuan di sebuah kediaman di Dataran Sunway di Petaling Jaya, semalam.

Dalam serbuan 2.50 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Kota Damansara.

Hasil penahanan lelaki itu, polis turut merampas pelbagai barangan disyaki hasil curi antaranya komputer riba, telefon pintar, beg, dompet, kad bank dan wang tunai termasuk mata wang asing pelbagai negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, penahanan suspek dilakukan susulan laporan kes pecah cermin kereta yang diterima di Balai Polis Kota Damansara.

“Semakan mendapati suspek juga ada memiliki beberapa rekod jenayah lampau.

“Suspek kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti pembabitan suspek terhadap jenayah jalanan lain terutama kegiatan curi dan samun yang berlaku di sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 5:27 PM