NOORZAINY (kiri) menunjukkan kereta yang dicuri semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
NOORZAINY (kiri) menunjukkan kereta yang dicuri semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
Shamsul Munir Safini


GENG Satria diketuai seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah dan aktif memecah masuk rumah dan tadika di daerah ini ditahan polis dalam operasi khas Khamis lalu.

Kumpulan penjenayah dianggotai dua lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 29 tahun itu ditahan berasingan jam 1 tengah hari hingga 3 petang di Butterworth dan Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka yang diburu polis sejak sekian lama dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian pecah rumah, tadika dan curi kereta di daerah ini.

Dalam operasi minggu lalu, polis melakukan tiga serbuan di lokasi berasingan dan menahan dua lelaki serta dua wanita yang mana tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek pertama kumpulan yang juga dalang utama mempunyai 13 rekod jenayah lampau membabitkan kes curi, pecah rumah dan dadah selain dikehendaki polis bagi kes pecah rumah di Seberang Perai Tengah.

“Dua lagi suspek termasuk seorang wanita masing-masing mempunyai satu dan tiga rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Noorzainy berkata, hasil serbuan polis merampas dua kereta, Perodua Kelisa dan Proton Satria yang dilaporkan hilang dipercayai digunakan kumpulan itu untuk melakukan pecah rumah.

Polis juga merampas barangan lain termasuk peralatan geng itu untuk pecah rumah dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM35,000.

Beliau berkata, hingga kini, keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kejadian pecah rumah dan curi kenderaan di daerah ini dan Kulim, Kedah.

Katanya, mereka direman hingga semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:05 AM