GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Subang: Polis menumpaskan geng pecah rumah di daerah ini selepas menahan sembilan individu termasuk dua wanita dalam serbuan di SS19 Subang Jaya di sini, semalam.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa, kelmarin yang mendakwa rumahnya dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga bernilai kira-kira RM10,000 hilang.

"Bertindak atas maklumat, pasukan menjalankan siasatan berjaya menahan tujuh lelaki dan dua wanita di kawasan SS19 Subang Jaya.

"Polis turut merampas sebuah kereta dan motosikal, 58 jam tangan pelbagai jenama, barang kemas, telefon bimbit, pakaian, topi keledar dan kasut.

"Turut ditemui dadah jenis heroin seberat 1.7 gram dan peralatan menghisap dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, soal siasat dilakukan, kumpulan itu mengaku terbabit beberapa kes pecah masuk rumah di sekitar Subang Jaya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati kesemua suspek positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, mereka direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 24 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki disyaki terbabit kes pecah masuk rumah dalam serbuan di Masai, Johor, pada 16 Oktober lalu.

"Polis berjaya merampas beberapa barangan dipercayai hasil jenayah dilakukan. Semakan juga mendapati suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau termasuk dadah.

"Penahanan suspek itu berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah sekitar daerah ini, Shah Alam, Kuala Langat dan Klang," katanya.

Katanya, suspek direman enam hari bermula 17 Oktober sehingga 22 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 11:50 PM