Polis menahan tiga lelaki warga asing Rohingya dan merampas kereta Volkswagen bersama pelbagai barangan yang disyaki digunakan dalam melakukan jenayah pecah rumah. FOTO Ihsan PDRM
Polis menahan tiga lelaki warga asing Rohingya dan merampas kereta Volkswagen bersama pelbagai barangan yang disyaki digunakan dalam melakukan jenayah pecah rumah. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis menumpaskan geng pecah rumah didalangi etnik Rohingya dengan penahanan tiga lelaki di Seksyen 14, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penahanan mereka susulan laporan polis diterima membabitkan kes pecah rumah pada 7.30 pagi 25 April lalu di Seksyen 14, di sini.

Menurutnya, lelaki warga emas berusia 68 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk ketika pulang apabila mendapati semua pintu bilik terbuka dan barangan berselerak.

"Mangsa juga mendapati pintu jeriji tingkap bilik belakang diumpil dan pintu kaca tingkap juga dipecahkan.

"Susulan itu, polis melaksanakan operasi khas jenayah pecah rumah bermula 30 April lalu di mana ia membuahkan hasil apabila pasukan polis dari Balai Polis Sea Park yang membuat rondaan 3.20 pagi semalam melihat sebuah kereta Volkswagen dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, semasa hendak menjalankan pemeriksaan ke atas suspek berusia 27 hingga 33 tahun itu berlaku pergelutan.

"Suspek cuba bertindak agresif dan menyerang pihak polis namun berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, pihak polis menemui dan merampas pelbagai barangan yang disyaki digunakan dalam melakukan jenayah pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau yang mana suspek pertama memiliki 12 rekod jenayah dan satu rekod kes dadah manakala suspek kedua mempunyai dua rekod kes jenayah dan dua kes dadah.

"Suspek ketiga pula mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Siasatan awal pihak polis mendapati, suspek terbabit dalam tigakes pecah rumah yang dilaporkan tahun ini di sekitar perumahan Seksyen 14, di sini," katanya.

Katanya, suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Penahanan mereka kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan jenayah jalanan yang berlaku dalam daerah Petaling Jaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 5:51 PM