Penduduk kampung yang dilanda banjir termenung resah memikirkan air yang mula membusuk sekali gus memberi risiko kepada penyakit kulit dan penyakit berjangkit. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Penduduk kampung yang dilanda banjir termenung resah memikirkan air yang mula membusuk sekali gus memberi risiko kepada penyakit kulit dan penyakit berjangkit. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk kampung yang dilanda banjir termenung resah apabila air mula berbau busuk sekali gus dibimbangi memberi risiko kepada penyakit kulit dan penyakit berjangkit.

Tinjauan ke beberapa penempatan mendapati air yang melimpahi kawasan rumah bertukar warna kehitaman dengan bau kurang menyenangkan selain beberapa penduduk mendakwa kulit mereka menjadi gatal dan berkudis.

Penduduk, Mohd Sabri Yusuf, 67, berkata air setinggi 0.5 meter di halaman rumahnya mula berbau busuk sejak dua hari lalu, selepas memenuhi kawasan kediamannya sejak lebih seminggu lalu.

"Dua anak saya, Mohd Adam Rizki, 6, dan Mohd Hafizun Ashraf, 9, mengalami gatal di beberapa bahagian badan selepas bermain air banjir.

"Akibat itu, saya terpaksa membawa mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana risau akan menjadi bertambah teruk.

"Saya juga mengalami masalah sama pada bahagian kaki kerana selepas terpaksa mengharungi banjir untuk keluar dari kawasan rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Lubok Gong, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mamat Omar, 70, mengakui dia sudah tidak tahan dengan bau busuk yang datang daripada air yang melimpah di sekitar rumahnya.

"Biasanya, jika banjir melanda rumah saya hanya digenangi air selama empat hari kemudian akan surut, tapi kali ini sudah hampir dua minggu menyebabkna air juga mula tercemar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 2:16 PM