SITI Subaidah Udin dan Norhasan Esa menunjukkan tangan dan kaki yang mengalami gatal-gatal selepas meredah air banjir. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SITI Subaidah Udin dan Norhasan Esa menunjukkan tangan dan kaki yang mengalami gatal-gatal selepas meredah air banjir. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Penduduk Kampung Asahan, Bestari Jaya, di sini yang terkesan dengan banjir sejak 20 Disember lalu mendakwa mengalami masalah gatal kulit selepas terkena air tercemar.

Rata-rata mereka memaklumkan air banjir yang diredah berwarna hitam dan berbau busuk dipercayai bercampur dengan lumpur serta kotoran dari longkang berhampiran.

Penduduk, Siti Subaidah Udin, 31, berkata, masalah itu muncul selepas dia membersihkan laman rumah ibunya yang dinaiki air, minggu lalu.

Menurutnya, kedua-dua tangan dan kakinya gatal-gatal menyebabkan dia kerap menggaru sehingga meninggalkan kesan parut.

"Saya mendapatkan rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan dimaklumkan mengalami alahan sebelum diberikan ubat.

"Tak sangka kesan alahan disebabkan air banjir itu meninggalkan parut pada tangan dan kaki," katanya ketika ditemui di PPS Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Siti Subaidah yang bekerja sebagai pekerja kedai pakaian di Bestari Jaya berkata, dia sekeluarga tinggal di PPS itu sejak sembilan hari lalu.

"Insya-Allah, dua atau tiga hari lagi kami dijangka pulang ke rumah namun bergantung kepada keadaan semasa," katanya.

Penduduk lain, Norhasan Esa, 63, berkata, dia merasa tidak selesa disebabkan kegatalan selepas tiga hari berulang-alik membersihkan rumah.

"Ada kesan merah pada kulit kedua-dua kaki disebabkan masalah itu.

"Sebagai alternatif, saya terpaksa menyapu ubat untuk meredakan kegatalan walaupun ia hanya bersifat sementara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 4:43 PM