DATUK Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. FOTO Bernama
DATUK Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penderitaan lebih empat tahun pekerja asing ini yang parah dan terkandas di Malaysia berakhir selepas kembali disatukan dengan keluarganya di Myanmar, kelmarin.

Aung Ko Thin, 32, yang sebelum ini merantau ke negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika bekerja pada 2 Mei 2020.

Ia menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan serius dan terlantar apabila impak kemalangan itu merencatkan koordinasi keseluruhan anggota badannya sekali gus menyukarkannya untuk menjalani kehidupan seharian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semakan rekod pihaknya menunjukkan pemuda berusia 32 tahun itu dilindungi caruman Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Katanya, Perkeso meluluskan bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal dan Elaun Layanan Sentiasa selain alat pemulihan serta bekalan makanan tambahan (supplement) untuk kegunaannya selama sebulan.

"Perkeso juga menguruskan evakuasi perubatan (Medevac) supaya Aung Ko Thin dapat pulang ke Myanmar bagi menjalani rawatan susulan.

"Kos penerbangan ditanggung sepenuhnya Perkeso dan usaha ini turut mendapat kerjasama Kedutaan Myanmar di Malaysia serta Lembaga Keselamatan Sosial (SSB) Myanmar.

"Alhamdulillah, dia selamat tiba di Yangon, Myanmar kelmarin dan kembali disatukan dengan keluarga yang sudah empat tahun tidak bersua," katanya dalam

kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed Azman turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama pelbagai pihak termasuk majikan pencarum, Hong Poh Engineering Construction Sdn Bhd yang menggalas tanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja mereka.

"Ini adalah contoh terbaik dan wajar dijadikan ikutan dalam kalangan majikan, malah Perkeso menaruh kepercayaan kebajikan hal ehwal pekerja berupaya menjadi motivasi ke arah peningkatan produktiviti," katanya.

Untuk rekod, penerbangan Medevac untuk kes bencana kerja membabitkan buruh asing ini adalah pertama kali dilaksanakan selari penerapan konsep prihatin yang menjadi teras perkhidmatan Perkeso.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 5:28 PM