GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


MULAI esok, saringan ujian Covid-19 di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan diperluaskan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kementerian terbabit, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya bersetuju supaya skop PSP Perkeso diperluaskan dengan menambah bilangan penyedia perkhidmatan saringan Covid-19.

"Kerajaan bersetuju menyediakan subsidi saringan ujian Covid-19 di bawah program ini menggunakan peruntukan dana RM200 juta yang diluluskan sebelum ini.

"Majikan dibenarkan membuat tuntutan subsidi bagi saringan Covid-19 sebanyak RM150 bagi setiap saringan dijalankan ke atas pekerja mereka yang mencarum dengan Perkeso.

"Majikan boleh menghantar pekerja mereka menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital diluluskan Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, di bawah program subsidi ini, pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor dan Kuala Lumpur akan diberi keutamaan untuk menjalani ujian saringan .

Menurutnya, ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjalankan saringan secara bersasar supaya rantaian penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

"Bagi pekerja tidak termasuk dalam golongan sasar itu, kos saringan perlu ditanggung majikan sebagai kesinambungan kepada usaha pencegahan jangkitan Covid-19 dalam kalangan semua pekerja di negara ini.

"Prosedur program subsidi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian terkini PSP Perkeso akan dimaklumkan melalui Portal Prihatin (https://prihatin.perkeso.gov.my) yang disediakan Perkeso.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 11:37 PM