M Saravanan.
M Saravanan.
Mahaizura Abd Malik


SEBANYAK RM5.9 bilion diperuntukkan kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melaksanakan Program Subsidi Upah yang akan memberi manfaat kepada 3.3 juta pekerja swasta di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, melalui inisiatif baharu itu, majikan mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari lalu boleh membuat tuntutan kepada Perkeso.

Katanya, sebanyak RM600 layak dituntut bagi tempoh tiga bulan untuk setiap pekerja berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah yang berdaftar dan mencarum dengan SIP.

“Syarat kelayakan untuk bantuan subsidi di bawah program ini adalah majikan tidak dibenarkan membuang pekerja, memotong gaji dan mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.

“Bayaran subsidi upah ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun majikan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh permohonan termasuk proses kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Program Subsidi Upah ini akan berkuatkuasa mulai 1 April depan.

“Selaindaripada meringankan beban yang dialami pekerja pada waktu sukar ini, beliau berkata, inisiatif baharu ini akan membantu majikan untuk mengekalkan pekerja sedia ada tanpa perlu memberhentikan mereka dalam menghadapi cabaran semasa.

“Ia adalah penambahbaikan dan perluasan kepada Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 16 Mac lalu,” katanya.

Permohonan boleh dikemukakan majikan melalui laman sesawang www.perkeso.gov.my

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Ketua Pejabat SIP, Datuk Mohd Sahar Darusman di talian 019-3237000 atau emelkan kepada [email protected] atau Dr Ponniah Raman di talian 012-6050523 atau [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 8:33 PM