FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuantan: Pemasangan landasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula esok, iaitu berbaki tiga tahun sebelum laluan rel sepanjang 665 kilometer (km) yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia itu mula beroperasi pada Januari 2027.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan berangkat mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian pemasangan landasan ECRL pertama itu di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng di sini.

Pada Mei lepas, Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Khairi Khalid Abdul Rahman dilaporkan media berkata, pemasangan landasan pertama itu membabitkan laluan dari Gebeng ke Dungun, Terengganu sepanjang 90 km, dengan jangkaan siap antara tiga ke empat bulan.

Pemasangan landasan dijangka membabitkan 1.5 km sehari dan Gebeng menjadi lokasi pertama memandangkan material yang digunakan termasuk lokomotif diesel buatan CRRC Ziyang, China, bagi melancarkan proses pemasangan, dibawa ke Malaysia menggunakan kargo yang berlabuh di Pelabuhan Kuantan.

ECRL adalah projek milik MRL iaitu syarikat berkeperluan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menjadi kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek itu.

ECRL yang bermula di Kota Bharu, Kelantan dan tamat di Lembah Klang, Selangor bakal menjadi sebuah infrastruktur nasional yang menghubungkan bandar raya dan bandar-bandar utama serta meningkatkan sistem pengangkutan awam di luar bandar di semua empat negeri dilaluinya.

Pembinaan dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dengan keseluruhannya membabitkan 20 stesen serta mempunyai 40 terowong dengan jarak melebihi 60 km.

Ia menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang pada kelajuan 160 km/ sejam (j) dan kereta api kargo dengan kelajuan 80km/j, yang dapat mengurangkan waktu perjalanan dari Kelantan ke Lembah Klang menjadi sekitar empat jam berbanding tujuh jam menerusi jalan darat, yang boleh mencecah 12 jam pada musim perayaan.

Selain menjadi pemangkin kesetaraan ekonomi Pantai Barat dan Pantai Timur dan memacu aktiviti komersial, pelaksanaan ECRL juga membuka peluang pekerjaan dengan sekitar 23,000 pekerja diperlukan dalam tempoh puncak pembinaannya selain turut membabitkan penyertaan kontraktor tempatan sebanyak 40 peratus bagi kerja sivil yang dianggarkan bernilai hingga RM10 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 9:42 AM