ANTHONY Loke (empat dari kiri) berbincang sesuatu dengan Dr Ahmad Samsuri semasa membuat lawatan di terowong pada Majlis Pelancaran Semula ECRL di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
ANTHONY Loke (empat dari kiri) berbincang sesuatu dengan Dr Ahmad Samsuri semasa membuat lawatan di terowong pada Majlis Pelancaran Semula ECRL di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply


PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion bakal memberi manfaat kepada 5,000 anak tempatan berbanding 3,600 orang sebelum ini dalam melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum ini, menerusi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL), seramai 447 pelatih berjaya dilatih dan diserapkan bekerja di dalam projek ECRL.

Beliau berkata, Program PLKI-ECRL akan diteruskan bagi membuka peluang kepada lebih ramai generasi muda mengikuti latihan dalam bidang industri rel, sekali gus diberi peluang untuk bekerja dalam projek pembinaan dan pengoperasian ECRL kelak.

“Program PLKI-ECRL yang bakal distruktur semula akan memanfaatkan seramai 5,000 anak tempatan berbanding 3,600 orang sebelum ini.

“Struktur baru ini akan lebih memberi fokus kepada latihan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja warga Malysia semasa fasa pembinaan ECRL.

“Kita berharap ECRL dapat memberi manfaat kepada ekonomi negara bukan sahaja di peringkat pembinaan, malah menghubungkan seluruh rangkaian kereta api dengan pelabuhan.

“Justeru, industri perkapalan dan logistik sudah tentunya akan berpeluang menikmati pertumbuhan industri lebih menggalakkan,” katanya pada Majlis Pelancaran Semula ECRL Tapak Terowong Dungun di Bukit Bauk, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Beliau berkata, limpahan ekonomi ECRL akan dapat dirasai dalam sektor pelancongan apabila pengusaha inap desa, perhotelan dan aktiviti pelancongan domestik akan meningkat susulan kunjungan ke destinasi seperti Cherating, Dungun, Kuala Terengganu, Tok Bali dan Kota Bharu.

Selain itu, katanya, kerajaan berharap projek ini akan menarik lebih banyak pelaburan baru di kawasan dibangunkan.

“Sebagai contoh, di Terengganu sendiri, terdapat pengurangan stesen daripada lapan kepada enam dan bukannya jumlah stesen yang menjadi isu, sebaliknya manfaat kepada penduduk setempat.

“Jika nanti kita nampak keperluan untuk menambah stesen, kita boleh mengikut pelan asal berdasarkan keperluan ketika itu,” katanya.

Projek ECRL yang baharu sepanjang 640 kilometer itu akan melalui sebanyak 20 stesen dengan 14 stesen terdiri daripada stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk tujuan kargo sahaja.

Sementara di Terengganu, terdapat enam stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo.

ECRL membabitkan tiga seksyen iaitu Seksyen A (Kota Bahru-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab) dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang) dijangka siap pada 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:08 PM