SUASANA pusat mengundi di SK Seri Iman. FOTO Rohanis Shukri
SUASANA pusat mengundi di SK Seri Iman. FOTO Rohanis Shukri
Noor Atiqah Sulaiman


Chukai: Umpama pesta, pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman di sini meriah dengan kehadiran peniaga dan penyokong kedua-dua parti yang mengambil peluang sempena hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Dapat dilihat pelbagai gelagat daripada kedua-dua parti untuk meraih undi berdekatan dengan pusat pengundian berkenaan.

Walaupun khemah kedua-dua parti yang bertanding itu diletakkan berdekatan, namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan proses pengundian di sekolah terbabit berjalan dengan lancar dan aman.

Malah di dalam pusat mengundi pula, turut disediakan beberapa tong air yang diberikan secara percuma kepada pengundi yang menunggu giliran sebelum menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Kebanyakan pengundi dilihat tiba di pusat pengundian sejak awal pagi dan mengambil peluang cuaca cerah untuk keluar mengundi walaupun kaunter di semua 49 pusat mengundi di empat daerah di Kemaman dibuka tepat 8 pagi.

Pengundi, Nor Azira Abd Malik, 52, memaklumkan beliau tiba di sini dari Shah Alam malam tadi dan bersyukur cuaca pagi ini begitu baik walaupun sebelum ini cuaca ketika hari pengundian diramalkan hujan.

"Syukur dan lega apabila dapat jalankan tanggungjawab. Walaupun ramai orang tetapi proses pengundian tidak perlu menunggu lama, semuanya dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, seorang pengundi yang mahu dikenali sebagai Ani, berkata beliau keluar awal hari ini kerana melihat keadaan cuaca yang baik.

"Dua tiga hari ini kita lihat hujan sebelah pagi dan petang, jadi bila tengok hari cerah dan baik saya pun terus bergerak ke pusat pengundian.

"Proses ketika mengundi juga tidak lama, ada saluran yang tidak perlu beratur pun. Terus dapat masuk mengundi," katanya.

PENGUNDI menghilangkan dahaga selepas selesai mengundi di SK Seri Iman. FOTO Rohanis Shukri
PENGUNDI menghilangkan dahaga selepas selesai mengundi di SK Seri Iman. FOTO Rohanis Shukri

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, proses pengundian setakat ini berjalan lancar walaupun terdapat sedikit gangguan di beberapa kawasan namun pihaknya berjaya mengawal keadaan berkenaan.

Berikutan itu, Mazli berkata polis menempatkan 12 'Team Cantas' di beberapa kawasan panas untuk memantau tempat berkenaan sekaligus mengelakkan berlaku gangguan.

"Kita turut meletakkan sebanyak 112 anggota trafik untuk menjaga lalu lintas bagi memudahkan pengundi untuk tiba di pusat pengundian dengan selamat, cepat serta mengundi dalam keadaan selesa," katanya ketika ditemui selepas melawat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail 1, di sini hari ini.

PRK Kemaman yang ditetapkan hari ini sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 12:49 PM