SAMSURI Mokhtar beramah mesra bersama orang ramai yang hadir mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman. FOTO Ghazali Kori
SAMSURI Mokhtar beramah mesra bersama orang ramai yang hadir mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Chukai: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap jumlah pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari ini lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu.

Ahmad Samsuri berkata, pengundi perlu mengambil kesempatan keluar mengundi pada waktu awal memandangkan keadaan cuaca masih baik pada waktu ini.

"Ya, kita berharap lebih tinggi lagi (peratusan keluar mengundi)… walaupun memang cabaran dalam PRK ini (atau) mana-mana PRK ini memang berdepan dengan cabaran (untuk pengundi) keluar mengundilah.

"Kita berharap suasana di Terengganu ini mungkin agak berbeza kerana ada kesedaran dari segi pengundi-pengundi itu, jadi kita berharap lebih ramai keluar mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni petugas PAS di Unit Daerah Mengundi (UDM) Kuala Kerteh di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang turut berharap keadaan cuaca yang baik pada pagi ini kekal sehingga proses pengundian selesai.

"Walaupun ramalan sebelum ini kita mungkin menghadapi risiko hujan tetapi Alhamdulillah pada pagi ini cuaca sangat baik dan kita berharap supaya ia bertahan sehingga petang, (sama-sama) kita doa pada Allah SWT, " katanya.

Seramai 141,043 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada PRK Parlimen Kemaman, hari ini.

Sebanyak 49 pusat mengundi dengan 244 saluran dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh semalam menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK itu boleh mencapai sehingga 70 peratus.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca, yang diramalkan hujan sepanjang hari di kawasan parlimen berkenaan hari ini.

Secara keseluruhan 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 10:44 AM