GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Sebuah tren Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang bernombor 28 dikeluarkan dari perkhidmatan di stesen Taman Mutiara kerana didapati menyebabkan penggera kepada sistem bekalan kuasa trek MRT di stesen berhampiran, hari ini.

Pihak Rapid Rail berkata, tren itu dikeluarkan pada jam 6.13 petang berikutan insiden itu turut menyebabkan atau menghasilkan 'bunyi spark' seperti yang dilaporkan.

"Tiada sebarang letupan atau kebakaran. Atas faktor keselamatan, tren itu dikeluarkan daripada perkhidmatan dan penumpang diminta untuk menaiki tren berikutnya yang tiba di Taman Mutiara," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Katanya, tren ini akan dibawa pulang ke depoh selepas tamat waktu operasi bagi pemeriksaan terperinci.

"Pada waktu kejadian pegawai transit yang berada di dalam tren sentiasa memantau keadaan.

"Tiada sebarang gangguan terhadap jadual perjalanan perkhidmatan tren MRT Laluan Kajang," katanya.

Pihak Rapid Rail memberi jaminan keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 11:18 PM