GAMBAR hiasan. FOTO Aiman Farhan
GAMBAR hiasan. FOTO Aiman Farhan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya sedang beroperasi dengan bilangan tren terhad akibat kegagalan sistem bekalan kuasa yang disambar petir.

Pihak Rapid Rail dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan kejadian dilaporkan berlaku jam 3.30 petang itu mengakibatkan tren tambahan dari Depoh LRT Subang tidak dapat digerakkan untuk kegunaan operasi waktu puncak.

"Susulan gangguan ini, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kekerapan tren antara empat hingga lima minit.

"Beberapa fasiliti seperti eskalator, lampu dan lif di tiga stesen LRT iaitu Stesen Kelana Jaya, Stesen Taman Bahagia dan Stesen Taman Jaya tidak dapat berfungsi.

"Namun, pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan LRT seperti biasa di stesen terbabit," katanya.

Bagi tujuan keselesaan dan kesinambungan perjalanan, katanya, pengguna boleh menggunakan beberapa laluan rel alternatif.

"Laluan itu membabitkan LRT KL Sentral-MRT (transit aliran massa) Muzium Negara dan Monorel KL Sentral; LRT Dang Wangi-Monorel Bukit Nanas; LRT KLCC-MRT Persiaran KLCC serta LRT Ampang Park-MRT Ampang Park.

"Kerja-kerja baik pulih masih giat dijalankan oleh jurutera Rapid Rail dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi kenyataan media susulan serta platform media sosial Rapid KL," katanya.

Menurutnya, anggota Polis Bantuan dan petugas stesen juga sudah ditempatkan di platform dan kawasan ruang legar stesen bagi membantu pergerakan penumpang.

"Pengumuman di platform juga dijalankan secara berterusan.

"Pihak Rapid Rail memohon maaf atas kelewatan dan kesulitan dialami oleh penumpang dan kami amat menghargai kesabaran anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:52 PM