GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pembukaan Kelas Tahfiz Khairul Ummah di Penjara Kajang adalah usaha menyokong syiar Islam yang membanggakan.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, program pengajian tahfiz di Jabatan Penjara Malaysia yang julung kali diadakan di negeri ini adalah hasil kerjasama agensi itu dengan Jabatan Penjara Malaysia.

"MAIS mengucapkan tahniah atas kejayaan Program Pengajian Tahfiz, Kelas Tahfiz Khairul Ummah, Penjara Kajang yang dirasmikan pada 24 November lalu.

"Tahniah atas usaha yang membanggakan dan berterusan dalam memulihkan banduan, tahanan dan penghuni penjara.

"Secara tidak langsung ia menyokong syiar Islam disemarakkan walaupun di penjara dan patut dicontohi oleh penjara yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, program itu juga mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Universiti Islam Selangor (UIS) dalam meneruskan kesinambungan pembelajaran al-Quran sehingga ke peringkat tahfiz di dalam penjara.

Katanya, program pengajian itu membabitkan model pelaksanaan terhadap banduan yang terpilih meliputi pengajian al-Quran berteraskan kaedah 4T iaitu Talaqqi, Tadarus, Tadabbur dan Tahfiz.

"Sehingga kini, seramai 20 banduan terpilih mengikuti pengajian kelas tahfiz ini.

"MAIS amat berharap agar mereka yang terpilih mampu menjadi contoh kepada rakan lain dengan memanfaatkan masa membaca, menghafal dan mentadabbur isi kandungan al-Quran di samping mendalami pelbagai ilmu.

"Semoga usaha sebegini akan memberi peluang untuk mendapat ganjaran dan diberkati oleh Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 12:47 PM