LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti bukti pembabitan 10 individu termasuk lima anggota penguat kuasa yang disyaki meminta dan menerima rasuah untuk meminda serta mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan.

Menurut sumber, daripada 1,280 kenderaan yang dipinda maklumat itu, 926 kenderaan yang dipinda itu dilakukan di Sabah, 61 di Perak yang dilakukan anggota penguatkuasa di Sarawak, Johor (247), dan Selangor (46).

"Siasatan masih berjalan dan SPRM sedang meneliti bahan bukti susulan operasi yang dijalankan.

"SPRM juga tidak menolak akan mengadakan operasi susulan selepas ini," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan SPRM menahan 10 individu berusia antara 33 hingga 66 tahun kerana disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik kenderaan dan orang tengah untuk meminda serta mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan.

Permohonan reman antara dua hingga tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 November dikeluarkan majistret ke atas sembilan daripada 10 suspek selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, Sabah.

Sumber berkata, empat individu dibebaskan dengan jaminan SPRM membabitkan dua individu di Johor dan dua individu di Perak manakala di Sabah seorang masih direman sehingga 28 November ini.

"Dua individu di Johor direman sehingga 27 November ini manakala dan dua lagi individu di Selangor direman sehingga esok," katanya.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 5:17 PM