ANTARA yang direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik kenderaan dan orang tengah, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
ANTARA yang direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik kenderaan dan orang tengah, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman sembilan individu termasuk lima anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik kenderaan dan orang tengah.

Wang diterima itu sebagai balasan untuk meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau di dalam sistem tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Permohonan reman antara dua hingga tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 November itu dikeluarkan oleh majistret ke atas sembilan daripada 10 suspek selepas pihak SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.

Bagaimanapun, seorang suspek yang juga bertindak sebagai ejen di Selangor dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

Semalam, SPRM menahan 10 individu berusia antara 33 hingga 66 tahun antara jam 11 pagi hingga 3 petang dipercayai turut didalangi oleh empat ejen dan seorang pemilik syarikat yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.

Sumber berkata, terdapat dua modus operandi (MO) dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan.

"Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar tahun 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.28 juta untuk lima anggota penguat kuasa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.

Kketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan sekitar kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 8:10 PM