Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seorang jurutera daerah antara enam individu direman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana disyaki memberi dan menerima rasuah bagi mendapatkan projek ditawarkan sebuah agensi pusat di Mersing, Johor, sejak 2018.

Penolong Pendaftar, Faridatul Farrah Mohd Shukri, membenarkan perintah reman bagi lima hari dan tujuh hari selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Sumber berkata, kesemua berusia antara 31 hingga 44 tahun itu dipercayai mengawal 11 syarikat didaftarkan atas nama mereka dan proksi untuk membolot projek agensi pusat berkenaan yang ditawarkan di daerah itu.

Penolong jurutera wanita berusia 30-an direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Julai ini, manakala lima individu lain direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Ogos depan.

Kesemua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Adahikmah Abu Bakar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.

Terdahulu, SPRM menahan enam individu termasuk seorang jurutera daerah dan dua penolong jurutera sebuah agensi pusat di Johor kerana disyaki menerima rasuah dari kontraktor di daerah yang dikawal selia mereka, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Menurut sumber, tiga kontraktor turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merasuah ketiga-tiga suspek bagi mendapatkan projek ditawarkan oleh agensi berkenaan di sebuah daerah di Johor sejak 2018.

Sumber memaklumkan, projek yang dimonopoli juga mencecah jutaan ringgit sejak 2018 hingga tahun ini, selain pelbagai bentuk suapan rasuah diberikan kepada ketiga-tiga suspek termasuk pakej percutian, wang tunai dan barang berharga termasuk sebuah bot.

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, mengesahkan tangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

JURUTERA daerah antara enam individu yang direman. FOTO  Nurul Amanina Suhaini.
JURUTERA daerah antara enam individu yang direman. FOTO Nurul Amanina Suhaini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 12:21 PM