BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir pada hari ketiga bagi menghadapi perbicaraan atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Shahril Badri Saali
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir pada hari ketiga bagi menghadapi perbicaraan atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Shahril Badri Saali
Murni Wan Omar


PERBICARAAN kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), K Arul Kanda yang didakwa meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, ditetapkan 15 hari bermula 18 November ini sehingga tahun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan di hadapannya terhadap Najib dan Arul Kanda.

Kedua-dua mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 18 November hingga 29 November 2018 dan 13 Januari hingga Januari 2020.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil hampir 30 saksi sepanjang perbicaraan nanti.

Fatnin juga turut menambah bahawa kes itu akan dibicarakan secara bersama.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Datuk N Sivananthan yang mewakili Arul Kanda tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah juga menetapkan 29 Ogos depan untuk pengurusan kes.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Bagi perbuatan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan terbabit bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 11:05 AM