PUTERI Nurajeerah Farhah Tengah mengalihkan peralatan kedai ke tempat lebih selamat selepas kedainya dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Alor, Surau Panjang. FOTO Ghazali Kori
PUTERI Nurajeerah Farhah Tengah mengalihkan peralatan kedai ke tempat lebih selamat selepas kedainya dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Alor, Surau Panjang. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Cuaca tidak menentu di Terengganu menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 3,917 orang malam ini.

Setakat jam 8 malam, kesemua mangsa daripada 1,029 keluarga itu berada di 28 PPS di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Besut.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 2,751 mangsa daripada 735 keluarga di 18 PPS setakat jam 4 petang tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah mangsa di daerah Kuala Nerus terus bertambah apabila seramai 1,426 orang daripada 370 keluarga berada di 12 PPS.

Ia menunjukkan penambahan berbanding hanya 1,105 orang daripada 295 keluarga di sembilan PPS petang tadi.

Seramai 1,053 mangsa daripada 309 keluarga yang terjejas di daerah Kuala Terengganu pula ditempatkan di lima PPS.

Jumlah mangsa di Marang juga meningkat kepada 926 orang berbanding 596 orang petang tadi.

Mereka yang terjejas ditempatkan di enam PPS berbanding hanya dua PPS sebelum ini.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Setiu menunjukkan penurunan apabila hanya lapan mangsa daripada tiga keluarga berada di satu PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 8:55 PM