Mangsa banjir Zazarinah Kassim, 46 (kanan) membersihkan kawasan rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Bukit Gemuruh. FOTO GHAZALI KORI
Mangsa banjir Zazarinah Kassim, 46 (kanan) membersihkan kawasan rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Bukit Gemuruh. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Keadaan banjir di Marang pulih sepenuhnya apabila di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, di sini, yang menempatkan lima mangsa ditutup pada 4 petang tadi.

Ia sekali gus menyaksikan hanya 98 PPS masih dibuka bagi menempatkan seramai 16,078 mangsa daripada 4,127 keluarga di tujuh daerah iaitu Setiu, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus setakat 6 petang ini.

Terdahulu, sebanyak 103 PPS dibuka bagi menempatkan seramai 16,337 mangsa daripada 4,226 keluarga di lapan daerah termasuk Marang.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu mula menunjukkan penurunan berikutan keadaan cuaca semakin baik di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, hanya daerah Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menunjukkan pertambahan mangsa.

Di Kemaman, seramai 8,408 mangsa daripada 2,114 keluarga masih berada di 27 PPS berbanding seramai 8,734 mangsa daripada 2,209 keluarga di 29 PPS sekali gus menjadi daerah yang merekodkan jumlah mangsa teramai.

Mangsa banjir di Hulu Terengganu pula meningkat kepada seramai 3,041 orang membabitkan 727 keluarga di 19 PPS berbanding seramai 2,626 mangsa daripada 617 keluarga di 16 PPS.

Sebanyak 108 keluarga membabitkan 431 mangsa masih berada di tujuh PPS di Besut manakala di Setiu, jumlah mangsa yang terjejas kekal seramai 403 orang daripada 117 keluarga dipindahkan ke 10 PPS.

Di Kuala Terengganu, seramai 516 mangsa terdiri daripada 131 keluarga berada di lima PPS, manakala seramai 781 keluarga membabitkan 2,742 mangsa dipindahkan ke 25 PPS di Dungun.

Di Kuala Nerus, seramai 537 mangsa daripada 149 keluarga yang terjejas dipindahkan ke lima PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 9:08 PM