Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Keadaan banjir di Terengganu semakin memburuk apabila 11,415 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 8 pagi tadi, semua mangsa daripada 3,326 keluarga kini ditempatkan di 174 PPS di tujuh daerah kecuali Kuala Nerus.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 5,494 orang daripada 1,627 keluarga di 103 PPS, malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila 3,998 orang daripada 1,276 keluarga dipindahkan ke 45 PPS.

Malam tadi, hanya 2,207 mangsa daripada 732 keluarga di 34 PPS.

Besut turut merekodkan pertambahan mangsa apabila 3,765 orang kini berada 65 PPS di daerah berkenaan.

Seramai 2,157 mangsa daripada 632 keluarga kini ditempatkan di 38 PPS di daerah Setiu, berbanding hanya seramai 725 mangsa daripada 227 keluarga di 11 PPS, malam tadi.

Di Kemaman, seramai 1,008 mangsa daripada 277 keluarga berada di 12 PPS, manakala 14 keluarga membabitkan 119 mangsa berada di dua PPS di Marang.

Jumlah mangsa banjir di Kuala Terengganu tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila 13 mangsa masih berada di sebuah PPS di daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 9:05 AM