KEADAAN banjir di rumah pam Ibu Bekalan Setiu di Kampung Buruk hari ini. FOTO Bernama
KEADAAN banjir di rumah pam Ibu Bekalan Setiu di Kampung Buruk hari ini. FOTO Bernama
Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada seramai 29,717 orang malam ini berbanding hanya 19,601 orang petang tadi.

Setakat 10 malam tadi, semua mangsa berada di 291 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 243 PPS petang tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kemaman kini merekodkan jumlah mangsa teramai apabila 9,717 mangsa daripada 2,497 keluarga berada di 35 PPS.

Ia menunjukkan pertambahan berbanding seramai 3,565 mangsa daripada 963 keluarga di 26 PPS.

Menerusi laporan itu, seramai 6,401 mangsa (1,978 keluarga) berada di 60 PPS di Hulu Terengganu manakala 84 PPS dibuka di Besut bagi menempatkan 5,492 mangsa membabitkan 1,506 keluarga.

Seramai 3,988 mangsa dipindahkan ke 58 PPS di Setiu dan di Dungun, seramai 1,963 mangsa daripada 527 keluarga berada di 32 PPS.

Sementara itu, 241 keluarga membabitkan 987 mangsa berada di sembilan PPS di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (689 mangsa) dan Marang (480 mangsa).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 10:45 PM