Jalan Sultan Omar ditutup selepas dinaiki air pagi ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Jalan Sultan Omar ditutup selepas dinaiki air pagi ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Lebih 10 kereta terkandas apabila di Jalan Pasir Panjang ke Jalan Panji Alam, Gong berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali di sini, dinaiki air susulan hujan berterusan hari ini.

Jalan berkenaan terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas selepas dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter sejauh 700 meter.

Sementara itu, Jalan Sultan Omar juga terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas kerana ditenggelami air sedalam kira-kira 1.5 meter sejauh 500 meter.

Selain dinaiki air, jalan utama ke pusat bandaraya itu juga ditutup disebabkan pokok tumbang.

Tinjauan mendapati pekerja Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertungkus lumus memotong dahan pokok yang tumbang.

Jalan Sultan Omar terpaksa ditutup bermula daripada bulatan Sultan Omar ke persimpangan empat ke wisma darul Iman.

Tinjauan mendapati pegawai dan anggota polis trafik dikerah untuk mengawal kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) memaklumkan dua sekolah terpaksa ditutup selepas laluan ditutup selepas dinaiki air.

Dua sekolah yang ditutup pagi ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Losong dan SK Seri Budiman, manakala sebuah lagi sekolah iaitu SK Chendering ditutup kerana dijadikan Pusat Pemindahan Banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 11:30 AM