Pelatih Inspektor melakukan perbarisan kawalan kehormat ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pelatih Inspektor melakukan perbarisan kawalan kehormat ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelanggan tetap yang juga bekas pegawai kanan polis menjadi inspirasi buat tukang gunting rambut untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berkongsi kisah itu, anak kelahiran Ipoh, Perak, Inspektor Muhamad Amir Faris Basri, 28, berkata, dia yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Ipoh sering memotong rambut seorang bekas pegawai kanan polis.

"Saya mula berkenalan dengan bekas pegawai kanan polis yang juga Komandan di Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana dia adalah pelanggan tetap saya.

"Pelbagai kisah dikongsi menyebabkan saya berminat untuk menyertai pasukan keselamatan ini selain saya juga adalah bekas atlet Sukan Malaysia (Sukma) dalam pertandingan menembak," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, 538 pelatih menyempurkan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Pelatih Bil 10 Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Muhamad Amir yang juga penerima Inspektor Terbaik Latihan Luar berkata, dia bersedia untuk berkhidmat kepada negara serta masyarakat.

"Impian saya ialah untuk berkhidmat di Unit Tindakhas (UTK) kerana kepakaran saya dalam menembak,"katanya.

Sementara itu, bagi penerima Pelatih Terbaik Keseluruhan Khairul Anwar Khalid, 26, berkata, dia sanggup meninggalkan kerjaya sebagai jurutera untuk menyertai polis.

"Ayah saya seorang pegawai kanan polis, namun dia tidak bersetuju saya menyertai polis tetapi saya tetap berkeras dan akhirnya ianya membuahkan hasil.

"Saya masuk polis kerana saya ingin mencabar diri, walaupun sudah tamat latihan, saya ingin menyertai pasukan khas bagi membuktikan saya mampu menjalani latihan lasak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:53 AM